Selamat Datang Siswa Siswi Baharu



Assalamualaikum wbkt. dan salam sejahtera,

 

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada semua pelajar baharu sesi Akademik 2017/2018 ke Pusat Pengajian Sains  Perikanan dan Akuakultur (PPSPA). Ditubuhkan pada 30hb September 2011, PPSPA memulakan langkah memacu kecemerlangan untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik berlandaskan visi untuk menjadi Pusat Pengajian terunggul yang berfokus dalam bidang perikanan dan akuakultur. Bagi merealisasi hasrat ini, PPSPA telah mengorak langkah dengan menyediakan pelbagai program akademik yang berkualiti serta rangkaian penyelidikan dan kerjasama samada dalam mahupun antarabangsa.

Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, PPSPA juga tidak menyisihkan kemahiran insaniah dan pengijazahan dalam tempoh yang telah ditetapkan (GOT). PPSPA juga mempunyai dan menawarkan kursus kursus terpilih dalam bentuk talian (MOOCs).  Selain daripada prestasi akademik, pelajar juga dinilai berdasarkan kemahiran insaniah mereka di bawah sistem Purata Nilaian Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) selaras dengan keperluan Malaysia Education Blueprint 2015-2025 (Higher Education) dalam melahirkan graduan yang holistik, berkeusahawanan serta seimbang dari segala faktor.

Justeru kami mengharapkan agar pelajar-pelajar semua dapat mengekalkan serta meneruskan kecemerlangan pada masa-masa akan datang. Kami amat berbangga untuk menyatakan bahawa selepas hampir 6 tahun,  PPSPA telah menghasilkan ribuan graduan dalam bidang Perikanan dan Akuakultur selain graduan pasca siswazah, yang telah menyertai  sektor awam mahupun swasta malah ada yang ke peringkat antarabangsa.

Oleh yang demikian sebagai satu-satunya Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur dalam negara, PPSPA dan warga berasa bangga untuk mendukung tradisi dalam melahirkan graduan-graduan cemerlang sahsian juga akademik  samada di peringkat prasiswazah mahupun pasca siswazah.

 

Tahniah dan Selamat Maju Jaya untuk semua pelajar baharu sesi 2017/2018!

Prof. Dr. Najiah Musa

Dekan
Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur